Content on this page requires a newer version of Adobe Flash Player.

Get Adobe Flash player

Liputan Akhbar

Liputan Akhbar - HICNursing Legasi Adik Beradik

 

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1006&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm

Utusan Malaysia

6hb October 2010

Oleh Rosmah Dain

Perkhidmatan jururawat dan fisioterapi bergerak dari rumah ke rumah dewasa ini amat diperlukan dalam usaha mendapatkan penjagaan dan rawatan pesakit yang kondusif.

Soal kewangan kini sudah menjadi nombor dua, apa yang penting kebanyakan anak-anak mahukan ibu bapa mereka yang uzur mendapatkan rawatan dan penjagaan yang intensif sepanjang berada di rumah.

Jadi dengan adanya perkhidmatan jururawat dan fisioterapi yang dibekalkan oleh Home Intensif Care Nursing (HICNursing) , memudahkan individu yang mahukan tahap penjagaan 'super class' untuk orang tua mereka dengan biayaan yang berpatutan.

HICNursing ditubuhkan pada hujung tahun 2008. Uniknya pengendali syarikat berteraskan kesihatan ini diterajui oleh empat adik-beradik iaitu Yasrizal Yahya, 30, (bertindak selaku pengurus) Mohd. Asri Yahya (pengurus pemasaran dan kewangan), 27, Mohd. Azhar Yahya(perunding jururawat), 25, dan Mohd. Firdous Yahya, 24, (perunding fisioterapi).

Berasal dari Pahang, dua antara mereka yang mempunya kerjaya lain sebelum ini akhirnya berhenti untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap syarikat pengendali perkhidmatan kejururawatan ini.

Menurut Yasrizal, agensi itu berpusat di Ampang dan beroperasi di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

''Walaupun syarikat ini masih baru, namun kami sudah menerima ramai permintaan pelanggan yang mahukan perkhidmatan HICNursing.

"Seorang jururawat kami akan bergilir-gilir menjaga sehingga enam ke tujuh pesakit setiap hari (24 jam). Perkhidmatan ini bukan sahaja terhad kepada warga emas yang uzur, kanak-kanak yang mempunyai kecacatan malah juga kepada mereka yang mengalami kemalangan dan memerlukan bantuan fisioterapi dan penjagaan secara klinikal dan jururawat profesional.

''Kini syarikat ini mempunyai 13 orang jururawat dan juru fisioterapi yang berkemahiran dan dipercayai,'' katanya.

Melihatkan kepada prospek bidang perniagaan ini yang sangat cerah pada masa depan, Yasrizal sentiasa memastikan syarikatnya menerajui pasaran perkhidmatan kesihatan ini untuk memberikan hanya yang terbaik kepada semua pesakit dan masyarakat yang memerlukan.

Katanya, perkhidmatan kejururawatan bergerak seperti ini bukanlah satu fenomena baru kepada masyarakat kerana telah terdapat beberapa syarikat kesihatan yang menjalankan perkhidmatan sedemikian, tetapi tidak banyak syarikat ini yang diterajui oleh bangsa Melayu yang kesemua jururawat dan kakitangannya berbangsa Melayu.

Bercerita lebih lanjut, Yasrizal memberitahu kisah permulaan penubuhan HICNursing ini bermula dengan perbincangan dia dan adik-adiknya.

''Adik saya, Mohd. Azhar dan Mohd. Firdous memasuki kolej kejururawatan swasta sebagai bidang pembelajaran mereka. Pada masa yang sama mereka turut menghadiri kursus fisioterapi bagi menambahkan pengetahuan dalam bidang ini.

''Kebetulan pada tahun 2008, datuk kami telah jatuh sakit kerana strok dan kedua-dua mereka telah merawat datuk sehingga pulih. Dari situ kami melihat prospek penjagaan fisioterapi ini sangat cerah dan amat diperlukan,'' katanya.

Dalam pada itu tambah Yasrizal, permintaan bagi mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan daripada kedua-dua adiknya sebagai jururawat peribadi daripada beberapa orang kenamaan sungguhpun pada ketika itu mereka belum habis kolej lagi.

Dalam pada itu Mohd. Asri berkata, pada masa depan HICNursing ingin melebarkan sayap mereka untuk memberikan perkhidmatan ke seluruh negara.

''Sekarang kita tumpu sepenuhnya di dalam Lembah Klang dan Selangor, tetapi pada masa akan datang, kita akan bina cawangan di beberapa negeri.

''Namun sekarang pun sudah ada pesakit kita yang datang dari negeri-negeri lain, tetapi mereka akan dirawat di rumah anak-anak mereka di sekitar Lembah Klang,'' katanya.

Rawatan katanya, dijalankan menerusi pakej-pakej perkhidmatan dan perubatan tertentu yang ditentukan sejurus bertemu dengan pesakit di rumah mereka.

Dalam pada itu tambahnya, pada masa depan, HICNursing bercadang untuk membina resort kesihatan bagi menempatkan warga emas atau sesiapa sahaja yang memerlukan untuk dirawat dalam keadaan lebih kondusif, belaian secara sihat di tempat yang amat merehatkan.